Monday, 1 August 2011

Definisi-definisi dalam hidup

Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum
Lagu Tema : Setanggi Syurga

Entri kali ini, sedikit panjang. Harap awak semua sabar membacanya (^_^)
. Baca perlahan-lahan dengan penuh kesabaran.

Sebuah persoalan?

Adakah Islam mengajar kita untuk maju dalam dunia?

Saya jawab, yes... Islam itu mengajar umatnya bukan sekadar untuk mengejar akhirat, tetapi juga untuk maju dalam dunia.

Tetapi,

Maju di dunia yang manakah maksud Islam?

Hari ini ramai orang anggap, Islam menyuruh kita maju dalam dunia, mendapatkan harta dan kekayaan yang terbanyak, pangkat, jawatan dan darjat yang tertinggi, dikelilingi wanita-wanita yang cantik, ditemani lelaki yang boleh membahagiakan... dan mereka sanggup membuat apa sahaja untuk mendapatkan item-item tersebut, tak kira cara halal atau haram. Malah ada yang sanggup untuk meninggalkan suruhan Allah yang fardhu; meninggalkan solat atas alasan untuk berniaga dan bekerja. Apabila ditanya kenapa tidak solat, "Kerja ini pun ibadah jugak."

Jika kita teliti kembali, benarkah itu ajaran Islam?



Definisi perlu diperbetulkan, kerana Harta yang terbaik bukanlah dari segi kuantiti banyaknya, tetapi Harta yang terbaik adalah yang sentiasa mencukupi kerana ramai orang yang kaya tetapi tetap rasa tak cukup-cukup, dan hati sentiasa tidak tenang. Bagaimana nak dapatkan harta yang mencukupi itu adalah melalui harta yang barakah (berkat). Harta yang barakah pula datang dari kerja yang halal. Dan dalam proses mencari harta yang halal itu, individu tersebut sentiasa di dalam mentaati perintah Allah; menjaga solat pada waktunya, menjaga auratnya terhadap bukan muhrim dan sebagainya.


Berbelit ke penyampaian saya? Harap maaf... inilah akibatnya bila penulisan terlontar dari hati dan akal secara spontan tanpa penstrukturan ayat terlebih dahulu.

Begitu juga dalam hal mendapatkan jawatan dan pangkat. Penilaian Allah adalah bagaimanakah kaedah kita mendapatkan jawatan tersebut. Adakah dengan cara jujur, komited dan ikhlas di dalam pekerjaan yang seterusnya menjadikan majikan menaikkan pangkat dan jawatan kita... atau kita melobi dan menikam belakang rakan sekerja untuk naik?

Adakah di dalam proses mencari wanita itu bermakna kita boleh bersama dengan mana-mana wanita yang cantik, seksi dan mampu membuatkan lelaki-lelaki lain terliur dan tersembul mata... atau cukup sekadar seorang wanita yang solehah, bergelar isteri yang menanti di rumah dengan pandangan matanya yang redup, dan mampu memadamkan keletihan dan amarah sewaktu bekerja?

Begitu juga dalam hak kita mencari suami. Adakah kita mendapatkan dengan cara yang betul? Adakah kita menggunakan kaedah / cara yang tidak baik? Kita guna ilmu pengasih misalnya. Sedangkan dalam Islam itu sendiri mengajar kita berdoa untuk mendapat jodoh yang soleh. Bukan dengan menggunakan ilmu pengasih supaya dia teringat-ingat akan kita. Atau setelah berkahwin, kita mempergunakan dengan ayat-ayat dari syaitan supaya suami kita itu mengikut segala arahan kita. Lagi sedih kalau ada yang buat nasi kangkang. Nauzubillah.
Atau kita nak jadi isteri yang taat kepada perintah suami dan memudahkan suami tanpa rengekan yang menyusahkan suami.

Atau, adakah memang wang dan kekayaan itu adalah harta yang terbaik? Atau adakah sebenarnya anak-anak yang soleh dengan akhlak mulia itulah harta yang terbaik yang sebenar-benarnya?

Atau kehidupan yang seronok kita nak? Bebas lelaki perempuan. Hidup serumah tanpa ikatan yang sah dianggap normal. Hamil luar nikah juga dianggap normal. Atau gugurkan kandungan luar nikah itu, perkara biasa. Selepas gugur, buat lagi. Cinta tanpa batas itu dianggap biasa, kerana itu gaya hidup masa kini? Kalau tak ada pasangan, maksudnya kuno atau ketinggalan zaman? Atau kita nak hidup bersama selepas ikatan yang sah.


Persoalan demi persoalan yang wajar untuk kita fikirkan, di dalam mencari definisi kehidupan yang hakiki.

Ada orang, menjaga solat di awal waktu di mana azan diazankan secara berjemaah itu, lebih berharga dari seluruh kota Baghdad...

Kita bagaimana?

Sebagai renungan, petikan sebuah hadith dari kitab Fadhilat Tijarah;
Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w telah bersabda,

"Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak akan menerima sesuatu melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman apa yang telah diperintahkanNya ke atas para Rasul.

Allah Ta'ala berfirman, "Wahai Rasul-rasul, makanlah dari yang baik-baik dan lakukanlah amalan soleh,"

Allah Ta'ala berfirman, "Wahai orang-orang beriman! Makanlah dari yang (sumber-sumber) baik-baik dari rezeki yang telah Kami kurniakan kepada kamu,"

Kemudian Baginda s.a.w menceritakan mengenai seorang lelaki yang telah berjalan jauh, sehingga berdebu tubuh dan pakaiannya, kusut masai rambutnya sambil menadah kedua tangannya ke langit seraya berdoa, "Ya Tuhanku! Ya Tuhanku!" sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan membesar dengan makanan yang haram. Oleh itu, bagaimanakah doanya diterima?"
(Hadith Riwayat Muslim)


Lontaran-lontaran persoalan yang banyak bermain dalam fikiran. Melihatkan generasi sekarang yang semakin teruk. Melihatkan manusia yang semakin sibuk mengejar kebendaan. Melihat manusia yang semakin gemar menjaga perihal orang lain dari menjaga perihal sendiri. Melihat manusia yang suka berpura-pura. Melihat manusia yang bermuka-muka.
Melihatkan manusia yang pada mulanya mengata hal orang, kemudian berkawan baik dengan orang yang di kata. Semua persoalan ini, memang akan terjadi dalam kehidupan kita sebagai manusia. Semakin takut untuk meneruskan hidup yang banyak fitnah. Namun ada pendapat mengatakan,
"kalau takut hidup, lebih baik mati TETAPI kalau takut mati, jangan hidup"

p/s sebenarnya dalam hidup apa yang kita cari? Kita hidup tak lama, tapi kita sibuk nak mengata orang. Kita hidup tak lama, tapi kita hidup asyik mengejar pangkat harta. Kita hidup tak lama, tapi kita asyik mengejar keseronokan dunia. Tepuk dada, tanya iman.

No comments:

Post a Comment