Showing posts with label Keagamaan. Show all posts
Showing posts with label Keagamaan. Show all posts

Monday, 24 October 2011

Perkongsian Untuk Semua

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum....
Lagu Tema : Doa Taubat

Lately, dah tiada mood nak FB...dah tiada mood nak blogging...
Cuma, entri kali ni, nak share apa yang Ustaz Marwan share masa Perhimpunan Umum tadi (24/10/2011) . sebelum tu, sebut pasal Perhimpunan Umum, HEA Cikgu Abrar kata, PU maksudnya Perhimpunan Umum, bukan PH..sebab PH tu Perhimpunan Haram (^_^)

Ni, perkongsian dari Ustaz Marwan... zaasssss.....

Sebelum Imam Shafie wafat, beliau sempat berpesan kepada muridnya serta umat islam umumnya. berikut adalah kandungan wasiat tersebut: ” Barangsiapa yg ingin meninggalkan dunia dlm keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan 10 perkara:

Hak kpd diri: mengurangkan tidur, mengurangkan makan, percakapan dan berpada-pada dgn rezeki yd ada.

Hak kpd malaikat maut: mengqadakan kewajipan2 yg tertinggal,mendapatkan kemaafan dr org yg dzalimi, membuat persediaan utk mati dan merasa cinta kpd ALLAH

Hak kpd kubur: membuang tabiat suka mneabur fitnah, tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu org yg dizalimi.

Hak kpd Munkar dan Nakir : tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

Hak kpd mizan(neraca timbangan amalan pada hari kiamat): menahan kemarahan, byk berzikir, mengikhlaskan amaln dan sanggup menahan kesulitan.

Hak kpd sirat(titian yg merintangi neraka pada hari kiamat): mmbuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjamaah.

Hak kpd Malik(malaikat penjaga neraka): menangis lantaran takutkan ALLAH s.w.t, berbuat baik kpd ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi dan memperelokkan akhlak.

Hak kpd Ridhzuan(malaiakt penjaga syurga): merasa redha kpd qadha’ ALLAH, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat ALLAH dan bertaubat dr melakukan maksiat.

Hak kpd Nabi MUhd SAW: berselawat ke atasnya, berpegang dgn syariat, bergantung kpd al sunnah (hadith), menyayangi para sahabat dan bersaing dlm mencari kelebihan dari ALLAH.

Hak kpd ALLAH s.w.t: mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Saturday, 15 October 2011

Di manakah kita? Hitung diri....

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Lagu Tema : HambaMu

Malu..
Malu nak hitung diri sendiri.
Mohon YA ALLAH, jauhi aku dari sifat ini. Mohon dengan sangat YA ALLAH.
AMIN


* klik untuk besarkan gambar


p/s perkongsian daripada seorang sahabat. Syukran



Hadith 40:15 - Berkata baik, memuliakan jiran dan tetamu

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Lagu Tema : TanpaMu


Ini adalah hadith ke lima belas(15) dari kitab hadith 40 karangan Imam Nawawi. Marilah kita sama-sama menghayati isi kandungan hadith ini dan mengambil pengajaran sebagai panduan hidup kita bersama.


عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم قَالَ: (( مَنْ آَانَ یُؤْمِ ن بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ آَانَ یُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ آَانَ یُؤْمِنُ بِاللهِ واليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ )) رواه البخاري ومسلم.


Terjemahan Hadith


Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. (Hadith riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.)

Kefahaman Hadith 40:15 - Berkata baik, memuliakan jiran dan tetamu


1) Pergaulan yang baik - menyebarkan kasih sayang antara manusia - mengeratkan lagi ikatan mahabbah sesama ummat.
2) Menjaga Lidah - berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata, sekiranya perkara itu harus - diam lebih baik.
- perkara kebaikan - bercakap adalah lebih baik.
3) Memuliakan Jiran :
i) wasiat mengenai jiran - ayat Quran - hadith (wasiat jibril pada nabi sehingga nabi menyangka jiran boleh mewarisi)
ii) Larangan menyakiti jiran - hadith- hadith berkaitan.
iii) Ihsan pada jiran - hadiah, salam, senyum ketika berjumpa, tolong ketika susah dll.
iv) Martabat jiran :
i) Jiran Muslim (mempunyai pertalian keluarga) - hak jiran, hak Islam dan hak kerabat.
ii) Jiran Muslim - hak jiran dan Islam.
iii) Jiran Bukan Muslim - hak jiran.
4) Memuliakan Tetamu :
- Hukumnya adalah wajib - tempoh tiga hari.
- Adab-adab melayani tetamu - rujuk hadith-hadith dan juga kisah nabi Ibrahim.

Pengajaran hadith


Hadith ini menerangkan beberapa tuntutan lman, antaranya ialah berkata hanya perkara benar dan berfaedah, kurang bercakap, menghormati jiran tetangga dan memuliakan tetamu.

Seorang yang benar-benar beriman akan menjaga lidahnya daripada berbicara perkara haram kerana dia akan dipersoalkan di hari qiamat nanti. Dia lebih senang diam daripada berkata buruk seperti mengumpat, mengeji, mencaci, memaki hamun dan mencarut.

Seorang yang benar-benar beriman akan menghormati jiran tetangga dan tetamunya, menyempurnakan hak mereka dan tidak menyakiti mereka.

Jiran tetangga adalah suatu golongan yang mendapat perhatian besar dalam lslam. Hormat menghormati, tolong menolong dan hidup berjiran yang muafakat adalah asas keamanan, kemajuan dan keharmonian sesebuah masyarakat.

Artikel: Hadith 40:15 - Berkata baik, memuliakan jiran dan tetamu

Thursday, 13 October 2011

Dosa sebar fitnah hilangkan pahala terkumpul

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum....
Lagu Tema : Zinnirah

Sahabat-sahabat sekalian. sesungguhnya kita berada di akhir zaman. Di mana fitnah disebarkan dengan begitu dasyat sekali. Marilah kita bersama-sama menyelamatkan diri daripada bencana fitnah ini. Kerana tukang fitnah dan penyebarnya akan dimasukkan ke dalam neraka dengan siksaan yang amat dasyat sekali. Sentiasalah kita memohon perlindungan dari Allah Taala daripada terjebak dengan gejala fitnah ini.

Dari Abu Hurairah ; Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Akan terjadi fitnah/gempuran cobaan, orang yang tidur di saat itu lebih baik daripada orang yang terjaga. Orang yang terjaga lebih baik daripada yang berdiri. Orang yang berdiri lebih baik daripada yang berlari. Maka barangsiapa yang mendapatkan tempat kembali atau untuk berlindung hendaknya dia segera mencari perlindungan dengannya.”

Dari Abu Zinad dari al-A’raj dari Abu Hurairah -radhiyallahu’anhu- bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Tidak akan terjadi hari kiamat kecuali sampai pada suatu ketika seorang lelaki melewati kuburan seseorang maka dia pun berkata, ‘Aduhai alangkah enaknya kalau aku sekarang berada di tempatnya.’.

Dosa sebar fitnah hilangkan pahala terkumpul


HATI adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan nikmat paling agung diberikan Allah sebagai titik untuk menilai keikhlasan. Di hati lahirnya niat yang menjadi penentu sesuatu amalan diterima sebagai pahala atau sebaliknya.

Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik supaya tidak rosak, sakit, buta, keras dan tidak mati bagi mengelak penyakit masyarakat yang berpunca daripada hati.

Kerosakan pada hati membawa kepada kerosakan seluruh nilai hidup pada diri seseorang individu. Penyakit hati yang menyerang kebanyakan kita ialah penyakit fitnah, sama ada menjadi penyebar atau mudah mempercayai fitnah.

Perbuatan fitnah adalah sebahagian perbuatan mengadu-domba yang mudah menyebabkan permusuhan dua pihak yang dikaitkan dengan fitnah berkenaan.

Masyarakat yang dipenuhi budaya fitnah akan hidup dalam keadaan gawat. Sebelah pihak sibuk menyebarkan fitnah dan sebelah pihak lagi terpaksa berusaha menangkis fitnah itu.

Natijah akibat perbuatan itu boleh mencetus persengketaan dan mungkin berakhir dengan tragedi kerugian harta benda dan nyawa. Individu yang suka menyebar fitnah sentiasa mencari kejadian atau berita boleh dijadikan bahan fitnah.

Dengan sedikit maklumat, berita itu terus disebarkan melalui pelbagai saluran yang merebak dengan mudah. Berita sensasi, terutama berkaitan individu ternama dan selebriti mudah mendapat perhatian khalayak.

Justeru, Allah memberi peringatan mengenai bahaya fitnah. Firman-Nya yang bermaksud: Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya. (Surah al-Baqarah, ayat 191) Apabila fitnah tersebar secara berleluasa, ia bermakna nilai agama sudah musnah dalam diri seseorang atau masyarakat. Islam bertegas tidak membenarkan sebarang bentuk fitnah biarpun untuk tujuan apa sekalipun.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah.(Hadis riwayat Muslim)

Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan emel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah.

Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah. Penyebaran fitnah melalui SMS yang berleluasa memaksa kerajaan menetapkan peraturan semua pemilik kad prabayar didaftarkan.

Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah.

Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.

Firman Allah bermaksud: Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.(Surah al-Hujurat, ayat 6)

Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu.

Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu.

Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan dengar khabar mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar.

Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.

Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah.

Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya? Rasulullah bersabda lanjut: Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya. (Hadis riwayat Abu Hurairah).

Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain. (Surah al-Hujurat, ayat 12).

Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.

Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu.

Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.

Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu.

Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.

Sumber : http://nurjeehan.hadithuna.com/2007/04/dosa-sebar-fitnah-hilangkan-pahala-terkumpul/

Monday, 1 August 2011

Definisi-definisi dalam hidup

Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum
Lagu Tema : Setanggi Syurga

Entri kali ini, sedikit panjang. Harap awak semua sabar membacanya (^_^)
. Baca perlahan-lahan dengan penuh kesabaran.

Sebuah persoalan?

Adakah Islam mengajar kita untuk maju dalam dunia?

Saya jawab, yes... Islam itu mengajar umatnya bukan sekadar untuk mengejar akhirat, tetapi juga untuk maju dalam dunia.

Tetapi,

Maju di dunia yang manakah maksud Islam?

Hari ini ramai orang anggap, Islam menyuruh kita maju dalam dunia, mendapatkan harta dan kekayaan yang terbanyak, pangkat, jawatan dan darjat yang tertinggi, dikelilingi wanita-wanita yang cantik, ditemani lelaki yang boleh membahagiakan... dan mereka sanggup membuat apa sahaja untuk mendapatkan item-item tersebut, tak kira cara halal atau haram. Malah ada yang sanggup untuk meninggalkan suruhan Allah yang fardhu; meninggalkan solat atas alasan untuk berniaga dan bekerja. Apabila ditanya kenapa tidak solat, "Kerja ini pun ibadah jugak."

Jika kita teliti kembali, benarkah itu ajaran Islam?



Definisi perlu diperbetulkan, kerana Harta yang terbaik bukanlah dari segi kuantiti banyaknya, tetapi Harta yang terbaik adalah yang sentiasa mencukupi kerana ramai orang yang kaya tetapi tetap rasa tak cukup-cukup, dan hati sentiasa tidak tenang. Bagaimana nak dapatkan harta yang mencukupi itu adalah melalui harta yang barakah (berkat). Harta yang barakah pula datang dari kerja yang halal. Dan dalam proses mencari harta yang halal itu, individu tersebut sentiasa di dalam mentaati perintah Allah; menjaga solat pada waktunya, menjaga auratnya terhadap bukan muhrim dan sebagainya.


Berbelit ke penyampaian saya? Harap maaf... inilah akibatnya bila penulisan terlontar dari hati dan akal secara spontan tanpa penstrukturan ayat terlebih dahulu.

Begitu juga dalam hal mendapatkan jawatan dan pangkat. Penilaian Allah adalah bagaimanakah kaedah kita mendapatkan jawatan tersebut. Adakah dengan cara jujur, komited dan ikhlas di dalam pekerjaan yang seterusnya menjadikan majikan menaikkan pangkat dan jawatan kita... atau kita melobi dan menikam belakang rakan sekerja untuk naik?

Adakah di dalam proses mencari wanita itu bermakna kita boleh bersama dengan mana-mana wanita yang cantik, seksi dan mampu membuatkan lelaki-lelaki lain terliur dan tersembul mata... atau cukup sekadar seorang wanita yang solehah, bergelar isteri yang menanti di rumah dengan pandangan matanya yang redup, dan mampu memadamkan keletihan dan amarah sewaktu bekerja?

Begitu juga dalam hak kita mencari suami. Adakah kita mendapatkan dengan cara yang betul? Adakah kita menggunakan kaedah / cara yang tidak baik? Kita guna ilmu pengasih misalnya. Sedangkan dalam Islam itu sendiri mengajar kita berdoa untuk mendapat jodoh yang soleh. Bukan dengan menggunakan ilmu pengasih supaya dia teringat-ingat akan kita. Atau setelah berkahwin, kita mempergunakan dengan ayat-ayat dari syaitan supaya suami kita itu mengikut segala arahan kita. Lagi sedih kalau ada yang buat nasi kangkang. Nauzubillah.
Atau kita nak jadi isteri yang taat kepada perintah suami dan memudahkan suami tanpa rengekan yang menyusahkan suami.

Atau, adakah memang wang dan kekayaan itu adalah harta yang terbaik? Atau adakah sebenarnya anak-anak yang soleh dengan akhlak mulia itulah harta yang terbaik yang sebenar-benarnya?

Atau kehidupan yang seronok kita nak? Bebas lelaki perempuan. Hidup serumah tanpa ikatan yang sah dianggap normal. Hamil luar nikah juga dianggap normal. Atau gugurkan kandungan luar nikah itu, perkara biasa. Selepas gugur, buat lagi. Cinta tanpa batas itu dianggap biasa, kerana itu gaya hidup masa kini? Kalau tak ada pasangan, maksudnya kuno atau ketinggalan zaman? Atau kita nak hidup bersama selepas ikatan yang sah.


Persoalan demi persoalan yang wajar untuk kita fikirkan, di dalam mencari definisi kehidupan yang hakiki.

Ada orang, menjaga solat di awal waktu di mana azan diazankan secara berjemaah itu, lebih berharga dari seluruh kota Baghdad...

Kita bagaimana?

Sebagai renungan, petikan sebuah hadith dari kitab Fadhilat Tijarah;
Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w telah bersabda,

"Sesungguhnya Allah itu baik, Dia tidak akan menerima sesuatu melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman apa yang telah diperintahkanNya ke atas para Rasul.

Allah Ta'ala berfirman, "Wahai Rasul-rasul, makanlah dari yang baik-baik dan lakukanlah amalan soleh,"

Allah Ta'ala berfirman, "Wahai orang-orang beriman! Makanlah dari yang (sumber-sumber) baik-baik dari rezeki yang telah Kami kurniakan kepada kamu,"

Kemudian Baginda s.a.w menceritakan mengenai seorang lelaki yang telah berjalan jauh, sehingga berdebu tubuh dan pakaiannya, kusut masai rambutnya sambil menadah kedua tangannya ke langit seraya berdoa, "Ya Tuhanku! Ya Tuhanku!" sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan membesar dengan makanan yang haram. Oleh itu, bagaimanakah doanya diterima?"
(Hadith Riwayat Muslim)


Lontaran-lontaran persoalan yang banyak bermain dalam fikiran. Melihatkan generasi sekarang yang semakin teruk. Melihatkan manusia yang semakin sibuk mengejar kebendaan. Melihat manusia yang semakin gemar menjaga perihal orang lain dari menjaga perihal sendiri. Melihat manusia yang suka berpura-pura. Melihat manusia yang bermuka-muka.
Melihatkan manusia yang pada mulanya mengata hal orang, kemudian berkawan baik dengan orang yang di kata. Semua persoalan ini, memang akan terjadi dalam kehidupan kita sebagai manusia. Semakin takut untuk meneruskan hidup yang banyak fitnah. Namun ada pendapat mengatakan,
"kalau takut hidup, lebih baik mati TETAPI kalau takut mati, jangan hidup"

p/s sebenarnya dalam hidup apa yang kita cari? Kita hidup tak lama, tapi kita sibuk nak mengata orang. Kita hidup tak lama, tapi kita hidup asyik mengejar pangkat harta. Kita hidup tak lama, tapi kita asyik mengejar keseronokan dunia. Tepuk dada, tanya iman.

Tuesday, 12 April 2011

AIB

Hadis Rasulullah s.a.w

Jangan membuka aib orang kerana Allah akan membuka aibmu walaupun di dalam rumah sendiri.

Jangan sekali-kali kita membuka aib orang kerana aib kita akan dibuka pula di akhirat kelak. Sama- sama kita saling menyimpan aib kerana ada hadis menyatakan tidak sempurna iman seseorang sekiranya dia tidak mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri..

Jagalah MULUTmu...
Seperti menjaga KEMALUANmu !
Karena keBANYAKan penduduk NERAKA...
Bukan hanya orang yang tidak bisa menjaga KEMALUANnya...
Tetapi juga orang yang tidak bisa menjaga MULUTnya
"Perkara yang paling BANYAK mengANTARkan orang masuk ke NERAKA adalah MULUT dan KEMALUAN." (HR. Tirmidzi)


"Barang siapa berIMAN kepada ALLAH dan HARI AKHIR...
Maka berKATAlah yang BAIK atau DIAM." (HR. Bukhori-Muslim)



Monday, 11 April 2011

RIAK

Ilmu yang ada untuk dikongsi bersama. Juga peringatan untuk diri saya.



Untuk Muhasabah diri

Sesungguhnya anak adam dijanjikan kematian padanya

Manusia takkan diuji dengan ujian yang diluar kemampuannya.

Setiap penyakit ada penawarnya & setiap masalah ada penyelesaianya. Insya Allah...

HAKIKAT PENYAKIT RIAK...


Firman Allah dalam surah al-Ma’un ayat 4-6 yang bermaksud:
"Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak."


Pengertian riak

Riak itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari tempat di dalam hati manusia.

Perkara yang diriakkan oleh manusia;

1. Riak dari segi badan

Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.


2. Riak pada pakaian

Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.
3. Riak dengan perkataan

Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata-kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.


4. Riak pada amalan

Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.


5. Riak dengan ramainya murid dan pengikut

Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama.

Peringkat Riak



1. Riak Akbar

Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.


2. Riak Asghar

Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.
3. Riak Jali (yang terang)

Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.

4. Riak Khafi (yang tersembunyi)

Riak ini pula tersembunyi di dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.


Punca Riak

Sebab-sebab yang boleh membawa kepada penyakit riak ini antaranya ialah;

1. Sifat suka dipuji oleh orang lain.
Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan kepada orang lain.

2. Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain.
Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur dan suka berpura-pura.

3. Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian.
Seseorang itu melakukan segala pekerjaan adalah semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia sebegini mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang dilakukan.


Bagaimana mengelakkan sifat riak?

Rawatan terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah dengan menjauhi sebab-sebab dan punca terjadinya penyakit.

Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;

1. Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.

2. Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan ini akan membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.

3. Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.

4. Menanamkan di dalam diri bahawa melakukan sesuatu perkara kerana manusia sehingga membawa kemurkaan Allah itu patut dijauhkan.

5. Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah.

6. Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan. Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak.


Adakalanya terdapat juga orang yang melakukan amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun, untuk melakukan satu-satu ibadat pada permulaannya akan menyebabkan timbulnya perasaan riak dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu sering dilakukan dan berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus sedikit demi sedikit.

Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah dan sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak itulah akan mendorong dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan ibadat. Tetapi,jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka.


kredit: Tok Wan

Friday, 8 April 2011

Prasangka


Satu artikel yang saya dapat dari www.ukhuwah.com Sangat bagus & baik untuk dikongsi bersama ;


SEBAGAI Muslim, umat Islam diingatkan tidak sesekali melakukan sesuatu perbuatan yang boleh menjejaskan nilai keIslaman...

Kita mengetahui bahawa Islam mewajibkan seluruh umatnya di mana juga berada supaya hidup dengan rukun damai dan berpegang teguh dengan ikatan silaturahim yakni dalam erti kata persaudaraan benar-benar erat serta bersatu padu.

Persaudaraan itu bukan hanya dalam bentuk lahiriah saja, bahkan dari aspek batiniah Iaitu persaudaraan sejati yang membawa kebaikan duniawi dan ukhrawi.

Jika kita tidak dapat menikmati suasana kehidupan yang damai, tidak ada persefahaman, tidak bermuafakat dan sering bermusuhan, maka kita sudah tersasar daripada ketetapan landasan ajaran Islam sebenar sekali gus menunjukkan bahawa kita sudah jauh menyimpang daripada rahmat Allah.

Bagi memelihara makna persaudaraan agar ia dapat hidup subur dalam masyarakat Islam, maka Islam mengajarkan beberapa panduan tertentu sebagai tinta berharga dalam pergaulan yang wajib dihormati serta dijunjung oleh umat Islam.

Panduan pergaulan yang menjadi ketentuan Islam dan wajib diamalkan umat Islam dalam hidup bermasyarakat sememangnya bertujuan mewujudkan kehidupan aman damai yang bebas daripada prasangka jahat.

Mengapakah Islam menegah daripada menyemai prasangka tidak baik antara satu sama lain?

Rasulullah sendiri menegah umat baginda daripada sifat ini.

Sabda baginda yang bermaksud: “Jauhilah kamu prasangka tidak baik kerana sesungguhnya prasangka tidak baik itu seburuk-buruk percakapan.” (Hadis riwayat Muslim)

Imam al-Khattabi dalam kitab 'subul as-salam' menjelaskan bahawa prasangka yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah tuduhan atau prasangka tidak beralasan, tidak jelas sebabnya seperti menyangka atau menuduh seseorang membuat keburukan pada hal belum nyata atau tidak ada bukti menunjukkan dia melakukan perbuatan itu.

Mengikut riwayat al-Dailami pula prasangka yang dilarang itu ialah yang dinamakan 'su u dhzan' iaitu prasangka yang tidak baik lagi buruk.

Sebenarnya larangan daripada melakukan prasangka tidak baik atau 'su u dhzan' itu bukan saja terhadap sesama manusia bahkan terhadap Allah.

Sesungguhnya, menaruh syak tidak baik kepada Allah adalah haram hukumnya.

Imam al-Zamakhsyari berpendapat, hukum menaruh sangkaan itu terbahagi kepada empat :

Pertama - wajib, iaitu menaruh segala sangkaan baik kepada Allah Kerana sifat-Nya sentiasa baik dan elok serta tidak sesekali akan menerima sesuatu melainkan yang baik dan elok.

Malah amat mustahil bagi Allah bersifat dengan keburukan dan kekurangan.

Kedua - haram iaitu menaruh sangkaan tidak baik kepada Allah kerana tidak wajar bagi kita meragui apa dilakukan Allah terhadap hamba-Nya.

Apatah lagi memikirkan perkara tidak elok atau tidak baik terhadap Allah sama ada secara sengaja atau tidak.

Umpamanya, seorang menaruh prasangka terhadap Allah sebagai tidak adil atau tidak patut disebabkan keadaan hidupnya tidak senang atau semudah orang lain atau dirinya sering ditimpa malapetaka.

Prasangka itu adalah haram. Hakikatnya, mungkin ikhtiar dan usahanya belum mencukupi.

Begitu juga haram menaruh prasangka tidak baik terhadap seseorang yang benar-benar nyata baik, jujur dan mulia serta bukan pula tergolong daripada golongan fasik.

Ketiga - sunat apabila menaruh prasangka baik terhadap seseorang yang bertingkah laku baik.

Kita hendaklah menaruh kepercayaan kepadanya dan tidak boleh menaruh sangkaan yang bukan-bukan.

Ini kerana, dari segi zahir memang dirinya seorang yang baik dan patuh segala perintah Allah.

Kecuali apabila ada unsur yang menunjukkan dirinya bukanlah seorang yang baik.

Keempat - harus menaruh sangkaan tidak baik terhadap seseorang yang suka melakukan maksiat dan mungkar secara terang-terangan tanpa ada rasa malu kepada Allah serta sesama saudara Islamnya sendiri.

Hakikatnya, dirinya lazim disebut sebagai orang fasik. Justeru, harus bagi kita berwaspada terhadap mereka dan kita tidak harus terlalu mudah percaya.

Demikianlah hukum sangkaan baik dan prasangka buruk dalam Islam.

Soalnya, di manakah kedudukan diri kita ketika ini? Kita hendaklah berhati-hati dalam membuat sesuatu sangkaan kepada orang lain kerana jika ia tersilap, maka keburukannya amat besar di mana ia boleh menjejaskan silaturahim sesama umat Islam.

Sunday, 20 February 2011

Pilihan


Pilihanku..
Bukannya pada paras rupa yang menawan hati..

Kerana cintaku bukan pada pandangan semata..
Takut jika diwarnai kegelapan..
Kita buta hilang arah..
Pilihanku..

Bukannya pada manis tutur kata bermadah..
Kerana cintaku bukan pada janji yang bermaharajalela..

Andainya suara dikaburi fitnah, Kita rebah tiada bermaya..

Pilihanku..

Bukan pada banyaknya harta dunia,

Kerana cintaku bukannya ternilai dengan harga..

Bimbang kemewahan membawa leka..
Menghilangkan cinta kita padaNya..

Lalu dimanakah bahagia?


Pilihanku itu..

seorang yang buta..
Buta menilai paras ru
pa..
Sesungguhnya syahadahnya menggegar seluruh jiwaku..
Keikhlasannya melakar cinta yang diredha..
Tongkatnya pada akidah yang menyinari laluan bahagia

Pilihanku itu...
Seorang yang bisu..
Bisu mengungkapkan janji yang tiada pasti..

Kerana harapan disandarkan pada Illahi..

Pendiriannya menusuk nurani hawa..
Bait-bait kesyukurannya lahir pada sujud seorang hamba Pilihanku itu..
Seorang yang papa dan hina...
Papa dengan takbur yang mengubur
Hina kerana sederhana..
Iman memujuk jiwanya..
Cintanya pada agama mengikat tali ukhwah..

Lalu disimpul teguh pada tiang pernikahan..
Pilihan kami..
Pada agama yang memelihara
Pada Syahadah yang mengiringi Pada Alquran yang membimbing..
Biar..

Cinta kami pada maha Menyintai..

Kerana janjiNya yang pasti Cinta kami pada kekasih Illahi kerana memimpin ke jalan bahagia yang hakiki
Kasih isteri pada cinta yang diberi..

Biarlah sampai ke akhirat nanti...

kerana yang sebenarnya ku mahukan padanya..

Bukan cuma kekasih duniawi..
Tapi teman menuju syurgawi
..INSYAALAH...



PESANAN BUAT DIRIKU SERTA DIRIMU.....

'Ramai yang mencari cinta tetapi tertipu olehnya, Ramai yang kecewa kerana cinta dan putus asa pada rahmat-Nya, Ramai yang membenci cinta dan membenci nyawanya.'

"Cinta yang dicari tanpa melalui Pencipta adalah cinta yang tiada batasnya. Cinta tanpa batasan hanya cinta sekadar hiburan. Hiburan yang bukan hanya melalaikan jiwa, menggelapkan hati malah buta pada Pencipta. Apabila musibah melanda, mula salahkan Tuhan kerana tidak menyedarkan daripada leka. Hati kita yang lemah, sentiasa digodai nafsu, sebab itu kita kena berpegang pada sandaran yang kukuh, Allah SWT. Adanya iman..apapun cabaran kita tetap mara ke hadapan. InsyaAllah.”

Wednesday, 16 February 2011

Waktu Mustajab Untuk Berdoa

Berdoalah selagi kita masih hidup


Terdapat beberapa waktu / ketika yang insyALLAH mustajab untuk berdoa. Jom kita sama-sama check...

1. Ketika hujan.

2. Hendak memulakan solat dan selepas solat.

3. Ketika menghadapi musuh dalam peperangan.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Berdoalah saat doa itu diperkenankan Allah iaitu pada saat bertemu tentera-tentera (berperang), ketika hendak mendirikan sembahyang dan ketika turunnya hujan.” (Hadis mursal yang diriwayatkan oleh Imam al-Nawawi dalam Kitab al-Azkar)

4. Antara azan dan iqamat.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak ditolak doa yang dimohonkan antara azan dan iqamat.” (Riwayat al-Tirmizi)

5. Ketika iktidal yang akhir dalam solat.

6. Ketika sujud dalam solat.

7. Ketika khatam al-Quran (30 juzuk).

8. Sepanjang malam, terutamanya pada sepertiga yang akhir dan pada waktu sahur.

9. Sepanjang hari Jumaat.

Kerana mengharapkan bertemu dengan saat ijabah (saat diperkenankan doa) yang terletak antara terbit fajar hingga terbenam matahari pada hari Jumaat.

10. Antara waktu Zuhur dan Asar dan antara Asar dan Maghrib.